Alatan Asas Menjahit

Teks: Nurshuhada Abdullah

Mesin Jahit
Mesin jahit tersebut sekurang-kurangnya mempunyai fungsi jahitan lurus, jahitan zig-zag serta panjang jahitan yang boleh dilaras. Mampu menjahit lapisan kain yang tebal.

Tapak Jahit
Terdapat pelbagai jenis tapak jahit dengan pelbagai fungsi di pasaran. Tapak jahit zip digunakan untuk menjahit zip pada kain. Manakala tapak jahit kelim digunakan untuk membuat kelim pada kain. Setiapnya direka sesuai dengan kegunaannya supaya proses menjahit menjadi mudah.

Jarum Mesin Jahit
Dibekalkan sekali apabila membeli mesin jahit. Jenis jarum yang digunakan perlu bersesuaian dengan ketebalan kain yang mahu dijahit. Jika tidak ia akan mengakibatkan jarum akan bengkok atau patah serta jahitan pada kain juga tidak sekata.

Seterika Wap  & Papan Seterika
Seterika wap lebih sesuai digunakan kerana menghilangkan kedutan pada kain dengan lebih cepat. Papan seterika yang bersaiz kecil boleh diletakkan bersebelahan dengan tempat menjahit jadi meminimumkan pergerakan. Bagi papan seterika yang besar pula memudahkan proses menyerika sekiranya menghasilkan projek jahitan yang besar.

Jarum Jahit Tangan
Terdiri daripada jarum jahit biasa dan jarum sulam. Jarum jahit biasa digunakan untuk menutup bukaan pada hasil jahitan atau membuat jahitan jelujur. Jarum jahit sulam pula digunakan apabila membuat sulaman pada kain.

Jarum Peniti
Digunakan untuk menetapkan kedudukan kain semasa menjahit. Juga digunakan untuk melekatkan kertas pola pada fabrik.

Gunting Kain
Gunting perlu tajam bagi mengelakkan kain dari rosak dan berbulu apabila dipotong. Gunting untuk memotong kain tidak boleh digunakan sekali untuk mengunting kertas kerana ia menyebabkan gunting tumpul. Jika gunting jatuh bilahnya akan renggang sekaligus menghilangkan keseimbangan gunting semasa memotong kain.

Bilah Pemotong (Rotary Cutter)
Kegunaannya sama seperti gunting untuk memotong kain. Cuma ia lebih cepat kerana boleh memotong beberapa lapisan kain sekaligus dengan hasil potongan yang kemas. Bilah pemotong perlu ditukar apabila kain yang dipotong berbulu atua potongan tidak lancar.


Cutting Mat

Digunakan bersama rotary cutter. Sebagai alas memotong apabila menggunakan rotary cutter. Mengelakkan permukaan kerja dari rosak akibat torehan rotary cutter. Permukaannya mempunyai ukuran dalam sentimeter atau inci. Terdapat dalam pelbagai saiz bermula dari saiz A4.

Pembaris Bergrid
Terdapat dalam pelbagai saiz. Digunakan untuk mengukur dan membuat garisan pada kain. Permukaannya yang bergrid dan lutsinar memudahkan membuat ukuran pada kain dengan tepat. Ia juga mempunyai ukuran sudut 45 darjah dan 60 darjah.

Pita Ukur
Sejenis alat pengukur boleh lentur yang mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.

Alat Penetas
Digunakan untuk menetas dan membuka semula jahitan jika terdapat kesilapan ataupun jahitan tidak kemas semasa menjahit. Bahagian matanya yang tajam digunakan juga untuk menebuk lubang butang.

Alat Penanda
Digunakan untuk melukis pola pada kertas dan menanda garisan pada fabrik. Antaranya kapur jahit, pensel dan pen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *