Kelas Intensif Jahitan Baju Kurung Dewasa Di Ipoh

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Alhamdulillah. Berjaya juga akhirnya.

Hasil tunjuk ajar dari Kak Dila, seorang tukang jahit berpengalaman di kelas intensif jahitan baju kurung baru-baru ini, saya dapat menjahit baju kurung sendiri mengikut teknik yang betul.

Benarlah apa orang kata, kalau hendak mencari ilmu biarlah berguru. Berguru dari orang berpengalaman, banyak ilmu yang boleh diperolehi.

Seronok rasanya dapat belajar menjahit baju kurung dengan Kak Dila kerana beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan juga tip-tip menjahit. Banyak ilmu jahitan baru yang saya perolehi sepanjang kelas kerana sebelum ini saya hanya tahu menjahit beg.

Sepanjang kelas, saya telah diajar satu-persatu langkah-langkah menjahit baju kurung seperti melukis pola, mengambil ukuran badan dan ukuran dari baju contoh, cara menggunting kain serta banyak lagi langkah-langkah yang seterusnya.

Bersama saya yang datang belajar pada hari itu, seorang usahawan muda dari Teluk Intan yang cuba berjinak-jinak menceburi bidang jahitan pula.

Saya kagum dengannya walaupun tiada asas menjahit tapi masih mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri dalam masa dua hari.

Ini menunjukkan apabila keinginan belajar dalam diri seseorang itu sangat tinggi disertakan dengan kesungguhan, segala halangan dapat ditempuhi. InsyaAllah.

Di antara beberapa ilmu jahitan yang saya pelajari. Kemasan pada lubang leher dan jahitan butang pada baju kurung. Untuk kemasan pada lubang leher, saya diajar dengan jahitan silang pangkah.

Jahitan insang pari untuk rumah butang. Sebelum ini, saya tidak pernah tahu pun nama jahitan ini. Hanya tahu pakai baju kurung sahaja.

Sekarang sudah tahu dan sudah berjaya pun menjahitnya sendiri. Alhamdulillah, ilmu baru.

Jahitan silang pangkah sebagai kemasan pada kelepet baju.

Ini bahagian kain pula, jahitan getah pinggang pada kain.

Kata-kata semangat dari Encik Suami. Tidak sedar bila nota ini diletakkan. Masuk-masuk bilik menjahit saja sudah ada. Berbunga-bunga rasanya hati. Terima kasih abang.


Kelas intensif jahitan baju kurung dewasa ini diadakan di Ipoh dan dijalankan pada hujung minggu sahaja.

Untuk satu sesi kelas hanya dua orang pelajar sahaja, jadi sesi komunikasi di antara satu sama lain lebih mudah dan jelas.

Walaupun kelas ini berlangsung selama dua hari, kita masih lagi boleh bertanya dengan Kak Dila selepas habis kelas jika masih ada yang tidak faham.

Selain baju kurung ada juga pakej lain yang diajar seperti pakej jahitan baju kurung moden dan jubah.

Pada sesiapa yang berminat untuk belajar menjahit bersama Kak Dila, lebih-lebih lagi yang tinggal berdekatan di Ipoh bolehlah singgah di blog Kak Dila, Flora Fancy Fabric untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai kelas intensif ini.

Saya sudah tidak sabar nak mulakan marathon menjahit baju kurung ini. Baru saja pulang dari membeli kain untuk baju kurung seterusnya.

Ilmu yang diajar perlu dipraktikkan segera. Jika tidak kita akan lupa segala input yang diajar.

Selamat menjahit semua!.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *