Ulasan Kelas Asas Blog Dan Penulisan: Apa Manfaat Yang Saya Perolehi?

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Google

Ini entri yang ke-44, bermakna ini adalah entri terakhir saya dalam Kelas Asas Blog Dan Penulisan sesi Mei bersama Puan Masayu Ahmad selaku pengasas Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR).

Ini juga adalah kali kedua saya berada di kelas ini. Sebelum ini saya bersama Puan Azura Abdullah, salah seorang pengurus online ABDR. Kali pertama saya mengambil masa sangat lama, hampir setahun untuk menyiapkan 44 entri disebabkan saya tidak konsisten dan tidak fokus dengan tugasan. Jadi saya masuk ke kelas ini kali kedua untuk memperbaiki kelemahan saya.

Entri terakhir ini adalah ulasan berkenaan manfaat yang saya perolehi dengan mengikuti kelas ini.

Antaranya;

1. Membiasakan diri menulis catatan harian dengan menulis secara spontan. Membuat catatan apa yang terlintas di fikiran tanpa terlalu memikirkan ayat yang sesuai atau ayat yang sedap dibaca.

2. Belajar menjadi peka dengan keadaan sekeliling walaupun sekecil-kecil hal. Setiap peristiwa yang berlaku boleh menjadi idea untuk menulis dan menukarkan ia kepada aura positif. Sebagai contoh, hari itu saya catitkan di dalam catatan harian, saya sangat penat mengemas rumah dan apa aktiviti mengemas telah saya lakukan. Dari situ timbul idea untuk menulis entri berkenaan pentingnya menjaga kebersihan, tip rumah sentiasa kemas serta banyak lagi.

3. Belajar menulis dengan laju. Cabaran menyiapkan 44 entri selama 20 hari memaksa diri untuk berfikir, menulis supaya setiap hari ada entri terkini di blog. Walaupun kadang-kadang saya terbabas disebabkan kesibukan kerja. Tapi untuk menyiapkan entri di dalam masa yang ditetapkan memaksa saya berusaha mencari idea untuk menulis. Secara tidak langsung dalam satu hari saya belajar untuk menulis sehingga lima entri.

4. Membuang sifat ‘perfectionist’. Aku mahu sempurna. Tetapi manusia tidak sempurna. Cikgu ajar tulis dulu dan terus publish. Kemudian baru edit mana yang perlu. Jika tunggu sempurna, mahu ayat sedap dibaca sampai bila entri itu tidak akan dikongsikan. Sudahnya ia terperap saja di dalam draft. Macam cikgu cakap nama pun kelas asas penulisan kita belajar asas. Bukan terus menjadi pakar.

5. Belajar menulis dengan ejaan penuh. Menghormati bahasa sendiri. Ejaan penuh memudahkan pembaca untuk membaca dan faham apa yang cuba disampaikan.

Ilmu menulis sangat berguna bagi saya yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan ini, yang sebelum ini tidak minat menulis pun sebenarnya. Segalanya berubah apabila saya mula mempunyai blog untuk berkongsi minat saya dengan pembaca. Mahu atau tidak saya perlu menulis. Dari situ saya berkenalan dengan ABDR ini.

Selain itu, saya juga belajar bagaimana mempunyai blog yang mesra pembaca dan boleh menarik orang untuk suka membaca di blog kita. Bagaimana mahu membina jenama diri di alam maya dengan memfokuskan minat, kemahiran dan pengalaman kita. Belajar bagaimana menukar pembaca kepada pembeli, secara tidak langsung dapat menjadikan blog sebagai sumber pendapatan. Serta berkenalan dengan jemaah-jemaah ABDR yang lain dengan kemahiran masing-masing yang saya boleh belajar dari mereka.

Paling seronok kelas ini dijalankan 100% secara online dan masa adalah fleksibel. Sangat sesuai bagi saya yang masih bekerja.

Akhir kata saya mengucapkan berbanyak terima kasih pada Puan Masayu Ahmad. Terima kasih atas segala ilmu yang diberikan. Saya doakan semoga Allah memberi kesihatan yang baik pada Puan dan dipermudahkan urusan untuk terus mencurah ilmu pada wanita di luar sana seperti saya yang mahu kembali menjadi suri rumah dan berbakti pada keluarga, menjadikan rumahku itu syurgaku. Serta diberikan kekuatan pada diri ini untuk terus menulis dan berkongsi ilmu. Aamin.

4 comments on “Ulasan Kelas Asas Blog Dan Penulisan: Apa Manfaat Yang Saya Perolehi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *